Nota dari sesi plenari FF
Oleh Alicia Izharuddin.
Pada pagi 26 haribulan November jam 8.30 pagi, Fiesta Feminista membuka tirai kepada sesi-sesi dan bengkel dengan sebuah sesi plenari yang dimulakan oleh Janatharni Arumugam, selaku wakil jawatankuasa penganjur FF. Ucapan beliau mengetengahkan persoalan mengapa acara Fiesta Feminista harus diadakan dengan menerangkan konteks sosial Malaysia yang kini berada di anjung perubahan besar dari segi politik.
Tetapi berubahan besar tersebut dikekangi dengan pelbagi musibah seperti urus-tadbir yang tidak beretika dan penindasan terhadap wanita yang berlaku saban hari. Mengikut Janatharni, Fiesta Feminista adalah satu lagi acara dan sebuah ‘proses’ yang mendesak untuk perubahan yang lebih mendalam lagi di Malaysia dengan meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan urus-adbir, dan memberikan suara kepada golongan yang jarang diberikan peluang bersuara.Claudia Lasimbang daripada PACOS Trust kemudian membincangkan masalah yang kini dihadapi oleh wanita dari golongan orang asal di Sabah. Pembangunan dan urbanisasi telah mendatangkan banyak kesan negatif kepada cara hidup tradisional wanita orang asal. Misalnya, penukaran hutan kepada pertanian yang tetap menyebabkan penghilangan mata pencarian tradisional wanita. Peluang bekerja wanita orang asal lebih merosot lagi dengan skim pemindahan dan penempatan semula komuniti orang asal disebabkan pembinaan empangan besar di kawasan tempat tinggal mereka.
Antara cabaran-cabaran lain yang dihadapi oleh wanita orang asal termasuklah beban dan tanggungjawab rumahtangga yang meningkat disebabkan kemiskinan, perubahan fizikal dan sosial yang menjejaskan amalan tradisi, dan kuasa politik yang kian mendalam dan menyukarkan wanita daripada mengambil bahagian dan keputusan dalam arena politik.
Pembentangan daripada Winnie Yee, president SAWO, pula menegaskan kepentingan kempen menghapuskan keganasan terhadap wanita di Sabah. Winnie menghuraikan penglibatannya dalam kempen tersebut dengan menceritakan kisah ibunya sendiri yang membanyak memberikan ilham kepada beliau untuk mendirikan SAWO dan berjuang untuk hak-hak wanita Sabah.
Akhir sekali, Smita Elena Sharma dan Shika membincangkan cabaran yang dilalui oleh komuniti Mak Nyah di Malaysia. Pada pendapat mereka, adalah penting sekali bagi gerakan wanita di Malaysia untuk menerima penyertaan wanita-wanita Mak Nyah dalam perjuangan bersama. Masalah transfobia di Malaysia sangat serius dan boleh menjadi satu halangan kepada semangat solidariti gerakan wanita.
Sidang plenari diakhiri dengan sesi soal jawab dengan soalan-soalan tentang bagaimana untuk membuka minda dan menerima seorang ahli keluarga yang kemungkinan besar adalah transgender, mengapa pekerja seks di Malaysia jarang diambil kira dalam perjuangan hak-hak wanita, dan isu kewarganegaraan suku Bajau Laut.

.
